Ingatan, Lupaan & Pemindahan
(Disediakan oleh: Lee Phooi San)
Lupaan dan ingatan serta pemindahan pembelajaran akan
berlaku dalam setiap kehidupan kita. Dalam kehidupan kita, kita sentiasa
belajar supaya kita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan. Bukan saja orang muda
yang ingin belajar tetapi orang tua dan kanak-kanak juga belajar setiap hari.
Perkara yang kita dapat mengingati itu bukan saja secara langsung tetapi juga
akan berlaku secara tidak langsung. Dengan itu, kadangkala kita tidak sedar
bahawa kita telah belajar dan telah mengingati sesuatu kecuali apabila maklumat
yang telah disimpan itu perlu digunakan. Bukan itu saja, kadangkala kita juga
menghadapi masalah untuk mengingat kembali sesuatu perkara. Ini kerana perkara
yang kita ingin ingat itu dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti faktor bahan
pembelajaran, faktor peribadi dan faktor kaedah pembelajaran. Menurut Azizi
Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya dan Fawziah Yahya (2005) berkata
manusia hanya menggunakan satu peratus daripada keseluruhan keupayaan otak yang
sebenar dan kita sudah mensia-siakan 99 peratus potensi otak yang begitu hebat.
Dengan itu, kita juga haruslah mempelbagaikan cara untuk meningkatkan daya
ingatan dan mengurangkan lupaan kita. Seterusnya, kita juga haruslah sentiasa
memindahkan pembelajaran kita dalam mata pelajaran lain serta memindahkan pembelajaran
kita dalam kehidupan seharian.
Menurut
Shahabuddin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah Jantan (2006) mendefinisikan
ingatan kepada maklumat yang dapat kita simpan dalam ingantan jangka panjang
dan dapat dikeluarkan semula apabila dikehendaki. Mok Soon Sang (2008), ingatan adalah merupakan
suatu proses mental untuk menyimpan perkara-perkara yang telah dipelajari dan
kemudiannya perkara yang telah simpan itu dikeluarkan untuk bertindak balas
dalam situasi yang diperlukan. Misalnya, menggunakan sesuatu ilmu yang telah
belajar itu untuk menyelesaikan masalah atau aktiviti pengajaran dan
pembelajaran selanjutnya. Lee Shok Mee (1995) juga mendefinisikan ingatan
merupakan suatu proses intelek yang menyimpan maklumat dan pengalaman secara
mental dan ia dapat dikeluarkan kembali untuk menyelesaikan masalah atau
digunakan untuk pembelajaran selanjutnya. Ia bermaksud sesuatu perkara yang
ingin kita tahu hendaklah dipelajari terlebih dahulu sebelum kita dapat diingat
dengan menyimpannya ke dalam otak kita dan seterusnya dikeluarkan apabila kita
diperlukan atau hendak digunakan.
Dr.
Ragbir Kaur Joginder Singh (2012) juga mentakrifkan ingatan sebagai bahagian
mental untuk kita menyimpan dan mengeluarkan maklumat pengalaman seseorang.
Iaitu ingatan adalah satu proses mental untuk menyimpan pengalaman yang kita
perolehi dan kemudiannya dikeluarkan apabila perlu digunakan sebagai rujukan
dalam penyelesaian masalah. Lee Shok Mee (1995) juga berkata pengalaman yang
telah kita simpan itu akan disimpan dalam beberapa kategori seperti disimpan
dalam bentuk kelas atau sistem dan seterusnya dibentukkan dalam hubungan asas
beberapa perkara. Proses-proses ingatan
adalah perlu melalui beberapa langkah seperti langkah menerima atau
dipanggil pengenkodan dalam otak, menyimpan dan seterusnya mengingat kembali
apa yang telah disimpan untuk digunakan.
Proses
pengenkodan akan berlaku melalui deria dan seterusnya diproses dan dirakam.
Selepas itu, maklumat tersebut akan disimpan ke dalam otak dengan secara
sistematik supaya mudah diingat kembali. Apabila maklumat yang telah disimpan
dan perlu digunakan untuk menyelesaikan masalah perlu melalui proses mengingat
kembali. Rangsangan-rangsangan yang diterima akan disimpan dalam bentuk kod imej
atau kod simbolik. Kod Imej adalah maklumat yang akan disimpan dalam bentuk gambar-gambaran
dan kod simbolik adalah maklumat disimpan dalam unit yang lebih kecil seperti
perkataan. Kod imej atau kod simbolik akan disimpan dalam bentuk ingatan
sensori, ingatan jangka masa pendek atau ingatan jangka masa panjang.
Ingatan
sensori adalah rangsangan yang diterima melalui organ deria dan diproseskan
serta merta melalui perhatian atau pengiktirafan. Maklumat yang tidak penting
akan dihilang serta merta hanya maklumat yang penting saja akan dihantar ke
ingatan jangka masa pendek. Misalnya, seorang guru yang menggunakan ingatan sensori
ini untuk menaipkan markah-markah yang ingin ditaip ke dalam sistem komputer.
Dengan itu, proses ingatan sensori ini hanya akan berlaku pada masa yang
singkat sahaja sekiranya maklumat tersebut tidak dapat diproseskan semula.
Ingatan jangka masa pendek juga dikenali sebagai ingatan kerja. Ingatan jangka
masa pendek adalah satu proses untuk menerima maklumat dari ingatan sensori
seterusnya mengenkodkan maklumat tersebut ke dalam bentuk yang lebih mudah
difahami seperti kod gmabar dan kod simbolik. Tajul Ariffin Nordin, Roslee
Ahmad dan Rahimawati Abdul Rahim (2007) mentakrifkan ingatan jangka masa pendek
sebagai ingatan yang hanya dapat menyimpankan maklumat bagi beberapa saat
sahaja untuk diproses. Misalnya apabila seseorang murid tesebut menjawab soalan
yang dikemukan oleh guru. Selain itu, apabila sesorang itu memandang suatu
nombor telefon juga hanya dapat mengingati nombor tersebut ketika mendial
telefon sahaja dan selepas mendial akan lupa kalau orang itu tidak membuat raptai
untuk menguatkan ingatan dia.
Ingatan
jangka masa panjang adalah menerima dan memproses maklumat dari ingatan jangka
masa pendek untuk disimpan dalam masa yang lebih lama. Maklumat yang akan
disimpan dalam ingatan jangka masa panjang adalah dalam bentuk kekal dan
tersusun. Dengan itu, maklumat-maklumat yang perlu digunakan pada bila-bila
masa itu akan mudah diingat kembali. Sebagai
contohnya, kita tidak dapat lupakan perkara yang amat gembira dan penting
kepada kami. Misalnya, kita akan mengingati tarikh hari jadi kita dan perkara
yang menjadikan kita gembira. Ingatan jangka masa panjang terbahagi kepada dua
iaitu ingatan eksplisit dan ingatan implisit. Ingatan eksplisit adalah perkara
yang diingat dan disimpan dalam jangka masa panjang yang berada dalam
kesedaran. Sebaliknya, ingatan implisit adalah perkara yang diingat dan
disimpan dalam jangka masa panjang yang berada dalam keadaan tidak sedar.
Ingatan eksplisit terdiri daripada dua jenis iaitu episodik dan semantik,
manakala ingatan implisit terdiri daripada ingatan perdana dan prosedural.
Ingatan
semantik adalah maklumat yang disimpan itu berbentuk fakta yang dikuasai
sepanjang hayat daripada berinteraksi dengan orang lain. Misalnya,
maklumat-maklumat yang berkaitan dengan persekolahan, pekerjaan, pembacaan, dan
pengalaman tentang rumah, objek dan manusia. Ingatan episodik adalah maklumat
yang diperolehi daripada pengalaman lama seperti peristiwa yang manis atau
pahit, hari konvokesyen seseorang, hari jadi umur 21 tahun dan kemalangan.
Ingatan prosedural adalah maklumat yang diperolehi daripada langkah-langkah dan
prosedur-prosedur amalan seharian. Contohnya , cara membuat kuih dan memandu
kereta ke tempat kerja dan ke sekolah. Ingatan perdana adalah maklumat seharian
itu dapat diingat secara automatik untuk seseorang seperti nombor rumah, nombor
telefon polis atau ambulans, nama ahli keluarga dan nombor kad pengenalan.
Faktor-faktor
yang mempengaruhi ingatan adalah faktor bahan pembelajaran, faktor peribadi dan
faktor pembelajaran. Faktor bahan pembelajaran merangkumi empat aspeks iaitu
panjang bahan, kesukaran badan, kedudukan bahan dan bahan bermakna. Mok Soon
Sang (2008) berkata, melalui kajian H.Ebbinghaus mendapati pembelajaran panjang
bahan akan mempengaruhi ingatan. Ingatan yang baik adalah tidak melebihi 7
bilangan suku kata. In kerena semakin kuantiti bahan pembelajaran ditambah,
semakin gangguan bertambah sehingga pelajar menghadapi lebih banyak kesulitan
dalam pembelajaran. Faktor sukar bahan pembelajaran adalah bermaksud bahan
pembelajaran terlalu mudah dan susah akan mempengaruhi ingatan seseorang. Mok
Soon Sang (2008) berkata, melalui kajian daripada Kruegar (1946) mendapati
bahan yang diajar itu terlalu mudah, kemajuan dalam peringkat awal bergerak
sangat cepat tetapi akan berundur dalam masa yang singkat. Ini kerana bahan
yang diajar itu kurang mencabar sehingga tidak dapat menimbulkan minat mereka;
oleh itu, minat pembelajaran itu tidak kekal. Kalau bahan pembelajaran yang
diajar itu terlalu sukar akan menyebabkan murid tersebut tidak mempunyai
kemajuan kerana mereka kekurangan keupayaan untuk mempelajarinya.
Seterusnya,
faktor kedudukan bahan pembelajaran juga adalah susunan bahan pembelajaran
supaya murid-murid dapat mengingati dengan senang. Mok Soon Sang (2008)
berkata, melalui kajian daripada Kingsley (1957) mendapati bahawa susunan suku
kata dan perkataan secara tertib terletak di tempat pertama dan akhir adalah
lebih mudah diingati. Sebagai contohnya, kita lebih mudah mengingati peristiwa
yang berlaku pada hari pertama persekolahannya. Justeru, Kingsley (1957) juga
telah membuat kajian tentang faktor bahan pembelajaran yang bermakna. Kajian
beliau mendapati bahawa pembelajaran perkataan-perkataan yang bermakna adalah
lebih mudah daripada set buku suku kata yang tidak bermakna.
Selain
itu, faktor kaedah pembelajaran juga mempengaruhi ingatan seseorang. Faktor
kaedah pembelajaran ini merangkumi dua aspek iaitu masa belajar secara bahagian
dan pembelajaran berlebihan. Masa belajar berlebihan akan mempengaruhi ingatan
seseorang. Menurut Mok Soon Sang (2008) berkata masa belajar secara bahagian
adalah lebih berkesan daripada masa belajar secara sekali gus. Ini kerana minda
kita tidak dapat rehat dengan mencukupi. Menurut Teori Gangguan atau Teori
Pengukuhan dalam buku Mok Soon Sang (2008) berkata tempoh masa rehat yang
mencukupi adalah penting bagi minda mengukuhkan apa yang telah dipelajari.
Seterusnya, faktor pembelajaran berlebihan juga mempengaruhi ingatan seseorang.
Pembelajaran berlebihan adalah bacaan tambahan pembelajaran. Misalnya setelah
menghafal sebuah sajak dan telah mencapai 100% hafalan tetapi hafalan ini akan
mudah dilupai. Oleh itu, bacaan tambahan perlulah dilakukan supaya dapat
mengekalkan ingatan mereka.
Sehubungan
itu, faktor peribadi juga akan mempengaruhi ingatan seseorang. Faktor peribadi
merangkumi empat aspek iaitu faktor umur, jantina, motivasi pembelajaram dan
emosi dengan ingatan. Faktor umur adalah umur seseorang itu akan mempengaruhi
ingatan. Mok Soon Sang (2008) berkata, kajian tentang ingatan yang terbaik dan
terkuat adalah pada umur 8-20 tahun. Kajian Holaday dan Stodard (1933) dalam
buku Mok Soon Sang (2008) menunjukkan kuantiti ingatan orang dewasa yang kekal
adalah lebih banyak daripada orang remaja dan kanak-kanak. Ini kerana orang
dewasa lebih matang dan mereka mempunyai pengalaman yang lebih luas serta mempunyai
kebolehan menaakulan yang lebih tinggi daripada orang remaja dan kanak-kanak.
Di
samping itu, faktor jantina juga akan mempengaruhi ingatan. Menurut Mok Soon
Sang (2008) berkata, melalui kajian daripada Kingley (1957) merumuskan bahawa
kebolehan mengingat di antara lelaki dan perempuan adalah tidak banyak berbeza.
Faktor jantina ini akan berlaku kecuali latihan yang memerlukan tenaga yang
kuat, seperti pertukangan kayu dilakukan oleh jantina lelaki. Dalam pada itu, faktor motivasi juga akan
mempengaruhi ingatan seseorang. Menurut Mok Soon Sang (2008) berkata, melalui
kajian daripada Tolman dan Honzik (1930) membuktikan bahawa motivasi yang kuat
akan membawa kepuasan sehingga pembelajaran yang dijalankan itu amat berkesan.
Ganjaran dan hukuman akan digunakan dalam sesebuah sekolah untuk memotivasikan
murid. Di dalam sebuah sekolah ganjaran adalah lebih diutamakan kerana dapat
mendorong pembelajaran dengan berkesan daripada mengenakan hukuman.
Emosi
seseorang juga akan mempengaruhi ingatan. Emosi adalah merupakan perasaan jiwa
yang kuat, seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain. Dalam kehidupan kita
pengalaman atau peristiwa yang lebih seronok akan senang mengingati tetapi
peristiwa yang kecewa dan sedih akan senang melupai. Misalnya, kita akan
sentiasa mengingati peristiwa hari jadinya dan akan menghilangkan ingatan dalam
peristiwa yang sedih seperti hari kemalangannya atau peristiwa yang membabitkan
nyawa seseorang.
Proses
lupaan berlaku adalah bergantung secara songsang dengan proses ingatan. Lupaan
adalah bermaksud kegagalan untuk mengingat kembali sesutau butir maklumat
dengan tepat (Shahabuddin Hashim, Mahani Razali & Ramlah Jantan, 2006) . Lee Shok Mee (1995) mendefinisikan lupaan
merupakan kesukaran untuk mengingat atau mengeluarkan kembali sesuatu yang
telah dialami. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi lupaan iaitu faktor
keusangan, faktor gangguan, faktor tekanan, faktor kebimbangan, faktor minat
berubah dan faktor lupaan ledakan maklumat.
Faktor keusangan berlaku apabila maklumat yang telah disimpan dalam
ingatan jangka masa panjang itu dilupai kerana jarang digunakan. Dengan itu,
lama-kelamaan maklumat tersebut akan hilang dengan peredaran masa. Seterusnya,
faktor gangguan berlaku apabila gangguan yang berlaku akibat pembelajaran baru
atau pembelajaran lama. Faktor gangguan ini terbahagi kepada dua iaitu lupaan
gangguan retroaktif dan lupaan gangguan proaktif. Lupaan gangguan retroaktif
adalah gangguan berlaku apabila pembelajaran baru mengganggu pembelajaran lama.
Misalnya, seseorang murid itu telah membelajari kad pengenalan baru akan melupai
kad pengenalan lama. Lupaan gangguan proaktif adalah pembelajaran lama
mengganggu pembelajaran baru. Misalnya,
guru mengajar murid dengan cara operasi menambah tetapi pada masa lain juga
guru tersebut mengajar mereka dengan cara operasi menambah yang baru. Dengan
itu, gangguan pemahaman murid dalam penggunaan cara operasi menambah ini akan
berlaku.
Di
samping itu, lupaan berlaku juga kerana berlakunya faktor lupaan dalam keadaan
tekanan. Faktor lupaan tekanan juga dipanggil lupaan desakan iaitu berkaitan
dengan emosi dan motivasi seseorang dan menyebabkan kita secara tidak sedar
untuk melupai maklumat yang telah disimpan dalam jangka masa panajang. Misalnya
peristiwa yang menyakitkan, kita akan sengaja menolak peristiwa tersebut ke
otak tak sedar. Sebagai contohnya, kita akan sengaja melupai peristiwa kematian
ibu atau salah satu kemalangan yang ngeri. Justeru, kita juga akan lupa sesuatu
peristiwa seperti berlakunya kebimbangan dan ketakutan. Misalnya, semasa
peperiksaan dijalankan seseorang murid itu takut sehingga mereka menghadapi
masalah tidak dapat mengingati nota-nota penting dalam dewan peperiksaan
sehingga maklumat yang kita telah hafal itu lupa. Seterusnya, faktor lupaan
ledakan maklumat juga akan mempengaruhi seseorang itu lupa. Lupaan ini berlaku
apabila maklumat yang hendak dipelajari itu terlalu banyak dan tidak berkait
antara satu sama lain.
Terdapat
beberapa cara untuk meningkatkan ingatan dan mengurangkan lupaan iaitu
mengunakan bahan pembelajaran yang berguna. Guru boleh mengaitkan bahan
pembelajaran baru dengan pengetahuan yang sedi ada. Justeru, kita juga boleh
menggunakan panjang bahan pembelajaran yang berpatutan dan memberi masa yang
mencukupi untuk menyelesaikan aktiviti mereka. Selain itu, kita juga boleh
menggunakan teknik mengajar yang menarik seperti gunakan teknik motivsi yang sesuai supaya pelajar dapat merasai
keseronokan semasa pembelajaran dijalankan. Di samping itu, kita juga boleh
merancangkan bahan pembelajaran dengan kesukaran yang berpatutan supaya para
pelajar dapat mempelajari dengan bersungguh-sungguh. Dengan itu, guru perlu
elakkan mengajar bahan pembelajaran yang terlalu mudah atau terlalu sukar.
Dalam pada itu, guru juga boleh membentuk
iklim pembelajaran yang kondusif dan menggunakan kaedah nemonik iaitu menggunakan
teknik mengorganisasikan fakta-fakta supaya pelajar lebih mudah diingati.
Justeru, kita juga boleh menggunakan pen penyerlah untuk menonjolkan isi atau
fakta penting. Selain itu, kita juga harus memberi ulangkaji yang mencukupi
kepada para pelajar untuk mengukuhkan ingatan. Di samping itu, kita juga
haruslah elakkan gangguan proaktif dan retroaktif dan mengajar dengan cara atau
gambarajah untuk mengilustrasikan fakta penting.
Menurut Lee Shok Mee (1995)
mendefinisikan pemindahan pembelajaran sebagai kecekapan menggunakan
pengetahuan atau kemahiran yang sedia ada kepada pembelajaran yang selanjutnya
atau kepada keadaan yang baru seperti mengaplikasikan dalam kehidupan seharian
kita. Misalnya, kemahiran matematik diaplikasikan dalam mata pelajaran fizik
dan sains. Terdapat tiga jenis pemindahan pembelajaran iaitu pemindahan
positif, pemindahan negatif dan poemindahan sifar. Pemindahan positif adalah
pemindahan maklumat yang lama dapat membantu pembelajaran baru. Misalnya,
seseorang itu untuk mendapatkan lesen memandu akan memperolehi pengalaman
memandu kereta daripada ayahnya dahulu. Pemindahan positf ini juga dapat
dibahagikan kepada dua jenis iaitu pemindahan mendatar dan pemindahan menegak.
Mok Soon Sang (2006), mendefinisikan
pemindahan mendatar kepada pengalaman dan aplikasi yang dipindah haruslah
mempunyai situasi yang serupa dan mengandungi peringkat kesukaran yang sama.
Sebagai contohnya, apabila kanak-kanak telah mempelajari erti perkataan yang
baru, seterusnya dia boleh mengaplikasikan pengetahuan yang sedia ada kepada
mata pelajaran lain seperti membaca buku cerita. Pemindahan menegak adalah
kenaikan pengalaman yang sedia ada kepada satu tahap yang lebih tinggi.
Misalnya, murid-murid telah mempelajari konsep segi tiga, terus menggunakan
untuk mempelajari konsep segi tiga sama sisi, segi tiga tepat dan segi tiga
sama kaki.
Justeru, pemindahan negatif juga boleh
didefinisikan kepada pengalaman lama ganggu atau menghalang pembelajaran baru. Misalnya,
murid-murid tidak dapat menguasai konsep operasi darab akan menghadapi masalah
semasa membuat soalan-soalan yang melibatkan operasi bahagi. Pemindahan negatif
ini dibahagi kepada dua iaitu gangguan proaktif dan gangguan retoraktif.
Gangguan proaktif adalah pembelajaran awal mengganggu pembelajaran yang baru.
Misalnya seseorang itu telah mempelajari memandu kereta sebelah kiri di
Malaysia akan menghadapi masalah apabila memandu kereta di sebelah kanan di
Amerika Syarikat. Gangguan retroaktif adalah pembelajaran baru mengganggu
pembelajaran lama. Sebagai contohnya, seseorang itu telah mempelajari bagaimana
bermain bola keranjang akan mengahadapi masalah apabila bermain bola jaring.
Ini kerana teknik yang dimainkan mempunyai sedikit perbezaan.
Pemindahan sifar adalah bermaksud tidak
berlakunya sebarang pemindahan. Ini kerana pengalaman dan kemahiran yang sedia
ada itu dipindah dalam pembelajaran yang baru tetapi tidak dapat mendatangkan
sebarang faedah atau sebarang kesan. Misalnya, seorang murid mempunyai
kemahiran dalam menyukat cacair dengan menggunakan selinder, ia mengetahui selinder
yang besar dan kecil dapat menyukat isipadu cecair yang berbeza. Dengan itu,
dia ketahui bahawa selinder yang lebih besar adalah lebih sesuai digunakan
untuk menyukat kuantiti air yang lebih banyak. Terdapa juga beberapa jenis pemindahan lain
seperti pemindahan bilateral, pemindahan pengantara dan pemindahan set
pembelajaran. Menurut Mok Soon Sang (2006) berkata pemindahan bilateral juga
dipanggil pendidikan bersilang. Pemindahan bilateral adalah menggunakan
kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam situasi yang berubah-ubah. Misalnya,
seseorang itu melatih dengan menggunakan tangan kiri dipercayai boleh membantu
latihan dengan tangan kanan.
Pemindahan pengantara adalah tindak
balas yang tetap kepada rangsangan dan dalam kategori yang sama membentuk
tindak balas baru. Misalnya, selepas menguasai sebutan suku kata, adalah lebih
mudah mempelajari ejaan perkataannya. Di samping itu, pemindahan set
pembelajaran juga adalah bermaksud kemahiran yang dipelajari dilatih banyak
kali sehingga pembelajaran menjadi automatik. Contohnya, murid-murid menghafal
sifir supaya dapat menjawab soalan operasi darab kemudian. Terdapat beberapa
cara untuk mengelakkan pemindahan pembelajaran negatif iaitu pembelajaran
konsep secara menyeluruh dan kukuh, pengajaran situasi bermakna, penguasaan
bahan pembelajaran, penyelarasan antara mata pelajaran yang berlainan,
pembelajaran bermakna dan penggunaan strategi analogi dan perbandingan.
Selain itu, kita juga haruslah
menggalakkan pemindahan pembelajaran positif semasa pengajaran dan pembelajaran
dijalankan. Dengan itu, kita haruslah membuat saling kaitan antara dua konsep
iaitu guru perlulah menarik perhatian kepada pelajaran yang lepas supaya mereka
dapat melihat perkaitan antara pembelajaran lama dengan pembelajaran baru. Selain
itu, guru juga haruslah membina kesedaran pemindahan pembelajaran iaitu
menggunakan strategi pengajaran yang
memusatkan murid seperti banyak memberi peluang kepada murid melakukan
latihan. Justeru, guru juga hendaklah memastikan semua murid dapat menguasai
kesemua fakta dan konsep yang diajar. Di samping itu, guru juga harsulah
mengadakan aktiviti pembelajaran yang bermakna dan menggalakkan daya cipta
murid melalui penggunaan pelbagai kaedah.
Sebagai kesimpulannya, ingatan adalah sangat
penting untuk menentukan kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan kita. Justeru,
ingatan juga dapat membantu kita untuk melaksanakan sesuatu atau mengatasi
sesuatu masalah. Dengan itu, guru haruslah membantu murid untuk meningkatkan
daya ingatan dan mengurangkan lupaan dengan melaksanakan beberapa teknik semasa
menjalankan pengajaran dan pembelajaran mereka. Di samping itu, guru juga
haruslah sentiasa memupuk dan menggalakkan pemindahan pembelajaran positif di
kalangan murid supaya murid dapat memotivasi tinggi, berani memberi perhatian
serta mempunyai perasaan tanggungjawab yang kendiri.
Bibliografi
Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya
dan Fawziah Yahya (2005). Aplikasi
Kognitif Dalam Pendidikan. Pahang, Malaysia: PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd..
Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI Pedagogi. Kuala
Lumpur, Malaysia: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Lee Shok Mee (1995). Asas Pendidikan 2 Murid Dan Proses Pembelajaran. Kuala
Lumpur, Malaysiaa: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2006). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Sekolah Rendah: Komponen 1
& 2) Psikologi Pendidikan & Pedagogi. Kuala
Lumpur, Malaysia: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2008). Psikologi Pendidikan untuk Pengajaran & Pembelajaran.
Ipoh, Malaysia: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Shahabuddin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah
Jantan (2006). Psikologi Pendidikan –
Buku Teori Pembelajaran Yang Terkandung Dalam Silibus Kurikulum Pendidikan Guru
Yang Digunakan Di Maktab-Maktab Perguruan. Kuala Lumpur, Malaysia: PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd..
Tajul Ariffin Nordin, Roslee Ahmad dan
Rahimawati Abdul Rahim (2007). Membina
pelajar Cemerlang Evolusi Pembelajaran Sepanjang Hayat. Malaysia:
Universiti Teknologi Malaysia.
0 comments:
Post a Comment